Azlan Man angkat sumpah MB Perlis tanpa kehadiran ADUN BN

ARAU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Datuk Seri Azlan Man, 60, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis bagi penggal kedua dihadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Balai Menghadap, Istana Arau di sini hari ini.

Majlis mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan itu bermula kira-kira pukul 11 pagi.

Azlan merupakan Menteri Besar Perlis yang ketujuh memenangi DUN Bintong pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Berkelulusan Sarjana Ekonomi Antarabangsa dari Universiti of Denver, Amerika Syarikat, Azlan memulakan tugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1983 dan pernah menjadi Konsul Malaysia di Toronto, Kanada pada 1985 serta Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Luar pada 1992.

Beliau juga pernah menjadi Kaunselor Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Amerika Syarikat pada tahun 1999.

Pada tahun 2003, anak kelahiran Arau itu menjadi setiausaha bahagian Afrika dan Sahara Selatan di Kementerian Luar dan pada tahun 2011 memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah BPA sehingga bersara untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Namun, sembilan ADUN Barisan Nasional yang menang pada PRU-14 lalu tidak hadir pada majlis mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan Menteri Besar itu.

Hanya Dua ADUN Pas dan tiga ADUN Pakatan Harapan sahaja yang hadir pada majlis itu.

Difahamkan, semua sembilan ADUN BN itu berada di Kuala Lumpur dan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim akan mengadakan sidang akhbar di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur petang ini.

Pelantikan Menteri Besar Perlis yang baharu merupakan yang terakhir di seluruh negara selepas PRU-14 yang mengambil masa selama 14 hari. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *