Bil elektrik Seri Bendahara boleh jimat hingga 50 peratus

MELAKA – Ketua Menteri Melaka yang baharu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari mahu menjimatkan kos penggunaan bil elektrik di kediaman rasmi ketua menteri seboleh-bolehnya sehingga 50 peratus.

Menurutnya, sebahagian besar penggunaan bil elektrik adalah daripada alat pendingin hawa, justeru beliau akan meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat kembali keperluan tersebut.

“Saya melihat penggunaan elektrik di Seri Bendahara, kebanyakan bilnya disumbang oleh pendingin hawa yang menggunakan sistem berpusat membabitkan ruang-ruang besar tertentu, sedangkan kita hanya menggunakan kawasan yang kecil.

“Jadi saya akan minta JKR untuk melihat kembali keperluan ini dan dengan mengecilkan tahap penggunaan, bukan sahaja kita dapat jimatkan separuh daripada bil malah kalau kita gunakan dengan cara yang betul kita dapat mengurangnya sehingga 60 peratus daripada bil sebelum ini,” katanya.

Beliau mendakwa semasa di zaman pembangkang sebelum ini, pernah menerima laporan bil elektrik di Seri Bendahara begitu tinggi.

“Saya dimaklumkan sehingga mencecah RM45,000 tetapi itu ketika kami jadi pembangkang dan itu adalah laporan lama,” katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan masyarakat Cina di Kampung Baru, Ayer Keroh di sini, malam tadi.

Terdahulu, ketika berucap di hadapan kira-kira 500 penduduk di sini, Adly berkata, beliau turut menerima cadangan dari sesetengah pegawai kerajaan supaya menukar beberapa peralatan khususnya perabot di Seri Bendahara sebaik dilantik menjadi ketua menteri dua hari lalu.

“Saya kata pada mereka, tiada benda dalam Seri Bendahara akan ditukar, wang rakyat mesti dijaga. Saya beritahu dia (pegawai kerajaan terbabit) kenapa sofa itu mesti ditukar, saya kata kalau mahu ditukar harganya paling kurang mencecah lebih RM100,000, sebab sofa di situ banyak, untuk 40 orang duduk.

“Alasan mahu tukar kerana takut dia punya kaki patah, saya kata biar dia patah dulu, baru boleh tukar. Sebab itu saya yakin bila kita (PH) mengambil alih negeri ini, kita boleh bawa perubahan besar kepada negeri ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *