Datuk Seri dicekup khalwat di Pulau Perhentian

Datuk Seri dicekup khalwat di Pulau Perhentian

LELAKI bergelar Datuk Seri dan pasangannya antara yang ditahan dalam operasi bersepadu di Pulau Perhentian semalam.

Lelaki berusia 40 tahun dan pasangannya berusia 32 tahun ditahan di sebuah chalet dalam operasi 1 pagi hingga 5.30 pagi.

Menurut sumber, serbuan dilakukan hasil maklumat awam yang memaklumkan kehadiran pasangan itu dari Kuala Lumpur.

Katanya, siasatan mendapati lelaki yang sudah berkahwin bersama pasangannya yang masih bujang datang ke pulau peranginan itu kelmarin bersama empat lagi rakan terdiri tiga wanita dan seorang lelaki.

“Kumpulan berkenaan menyewa tiga bilik diuruskan pengawal peribadi dengan menggunakan nama ejen bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Pada mulanya, kita gagal mengesan mereka kerana tiada nama dalam buku daftar masuk ke chalet namun ia terbongkar melalui buku sewaan kayak dan jaket keselamatan.

“Pasangan ini dibawa ke Pejabat Agama Besut untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah namun dibebaskan dengan bon jaminan sementara menunggu proses pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Sumber berkata, operasi sama turut menahan lelaki berusia 30-an kerana kesalahan minum minuman keras dan pasangan kekasih berusia 20-an kerana berkhalwat.

Katanya, operasi bersepadu dijalankan membabitkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Majlis Daerah Besut, Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu, Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Laut serta Pasukan Gerakan Marin.

Sementara itu, Pesuruhjaya JHEAT Mat Azmi Arsyad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 29, Seksyen 31 (berkhalwat) dan Seksyen 23 (1) (minuman keras) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *