Dr Streram berjanji tarik lebih banyak pelaburan ke Rantau

Dr Streram berjanji tarik lebih banyak pelaburan ke Rantau

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram, menyasarkan menarik lebih banyak pelaburan bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk, terutama golongan muda.

Beliau berkata, pelaburan itu termasuk membangunkan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dan mengukuhkan sektor pelancongan di Rantau.

Katanya, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan tokoh korporat untuk menyokong pembangunan di kawasan itu bagi kemudahan rakyat.

“Setakat ini, tiada IPT di kawasan Rantau dengan yang terdekat ialah di Pedas dan Seremban. Saya bercadang membangunkan sebuah IPT sekiranya (kerajaan) ada kewangan stabil.

“Saya berharap ada kolej kemahiran dibangunkan di Rantau yang akan membantu meningkatkan kemahiran orang muda supaya mereka senang mendapatkan pekerjaan.

“Malah, saya diberitahu bahawa kolej kemahiran akan mengadakan pelbagai kursus di sini bagi meningkatkan kemahiran golongan muda,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan mesra di Kuala Sawah, Rantau, di sini, hari ini.

Dr Streram berkata, beliau juga akan berbincang dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berhubung isu pembangunan dari segi pelaburan, terutama dalam sektor pelancongan.

“Disebabkan kedudukan dekat dengan Port Dickson, kawasan ini berpotensi dibangunkan sebagai lokasi tumpuan pelancongan.

“Penduduk boleh membangunkan sesuatu yang menjana pendapatan mereka menerusi kemahiran,” katanya sambil berkongsi pandangan menjadikan Rantau kawasan berpotensi untuk pembangunan pertanian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *