Guan Eng mohon belanjawan tambahan RM19.6 bilion

Guan Eng mohon belanjawan tambahan RM19.6 bilion

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019 adalah perlu untuk menampung kekurangan dalam Bajet 2018.

Secara keseluruhan, menteri kewangan meminta parlimen meluluskan belanjawan tambahan sebanyak RM19.6 bilion.

Dalam membentang usul bacaan kedua hari ini, beliau berkata sebanyak RM6 bilion merupakan komitmen yang dibuat oleh kerajaan terdahulu tetapi tidak disediakan peruntukan.

Komitmen tersebut termasuk pengambilalihan Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di Johor sebanyak RM1.4 bilion dan Projek Landasan Berkembar di bawah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebanyak RM1.0 bilion.

Lim berkata RM4 bilion lagi diperlukan untuk bayaran khidmat hutang off-balance sheet.

Ia antara lain seperti bayaran Private Finance Initiative (PFI) yang memerlukan tambahan sebanyak RM1.1 bilion dan bayaran khidmat hutang Dana Infra yang memerlukan tambahan RM2.5 bilion.

Danainfra adalah syarikat milik Kementerian Kewangan yang digunakan untuk meminjam wang untuk projek-projek MRT.

Tahun lepas, Kementerian Kewangan terpaksa membayar pinjaman yang dilakukan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd, yang mana Lim berkata ia juga dibayar melalui kaedah off-balance sheet.

Baki sebanyak RM9 bilion, katanya, bukanlah pembiayaan tambahan semata-mata sebaliknya melibatkan penstrukturan semula perbelanjaan operasi tertentu kepada perbelanjaan pembangunan.

Lim memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan persekutuan meningkatkan sasaran defisit fiskal kepada 3.7 peratus, daripada 2.8 peratus yang disasarkan oleh kerajaan terdahulu.

“Walaupun kerajaan telah berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan kos dan menangguhkan perbelanjaan tidak kritikal, adalah tidak realistik untuk mencapai sasaran defisit 2.8 peratus pada 2018.

“Peningkatan ini disebabkan oleh komitmen perbelanjaan oleh kerajaan terdahulu, yang tidak disediakan peruntukan dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2018 dan juga perbelanjaan khidmat hutang pembiayaan secara off- balance sheet,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *