Harga barang keperluan di Perak turun hingga 30 peratus – Exco

Harga barang keperluan di Perak turun hingga 30 peratus – Exco

IPOH: Harga barang keperluan didapati menurun kira-kira 25 peratus selepas pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dilaksanakan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan, berkata penurunan harga itu sekali gus menepis dakwaan pembangkang mengatakan harga barangan kekal tinggi.

“Berdasarkan maklumat diberikan peniaga, berbanding Januari sehingga kini, harga barang keperluan seperti ikan kembung, sayur-sayuran menurun hingga 30 peratus.

“Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, ada yang menafikan (harga barang keperluan asas menurun) dan mengatakan masih ada ikan kembung dijual pada harga RM18 sekilogram.

Ia sebenarnya tidak berlaku, jadi pengurangan harga itu memang fakta yang tidak boleh dinafikan,” katanya selepas bersama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengadakan tinjauan pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa Tahun 2019 di Pasar Awam Tanjung Rambutan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Sivanesan berkata, beliau percaya harga barang keperluan asas boleh turun sehingga 60 peratus jika nilai mata wang negara meningkat seperti dulu,

Beliau berkata, ketika ini berlaku kejatuhan nilai ringgit kira-kira 30 peratus yang turut menyumbang kepada kenaikan harga barang keperluan tempatan.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan orang ramai mengenai kekurangan bekalan barang keperluan terutama bekalan kelapa bagi menyambut Aidilfitri.

Mengulas SHMMP, beliau berkata, peniaga di negeri ini sudah maklum dengan skim kawalan harga yang dijalankan selama 30 hari berbanding 15 hari pada perayaan tahun sebelumnya.

“Sejak tiga tahun lalu, pada setiap pasar di negeri ini sudah dipamerkan kawalan harga, jadi tiada alasan untuk peniaga tidak mematuhi arahan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *