Hutang negara tinggi, tiada duit raya untuk peneroka Felda – Azmin

Hutang negara tinggi, tiada duit raya untuk peneroka Felda – Azmin

GOMBAK – Kerajaan setakat ini tiada keputusan berhubung pemberian ‘duit raya’ kepada 112,635 peneroka FELDA di seluruh negara, susulan keadaan kewangan negara yang dibebani pelbagai hutang.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebaliknya berkata keutamaan kerajaan kini ialah untuk memastikan pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil dibayar kepada peneroka sebelum Aidilfitri.

Beliau menjelaskan, kerajaan tidak berupaya memberikan sebarang janji dalam mengumumkan ‘duit raya’ kepada peneroka seperti amalan yang dilaksanakan sejak 2011, bagi memastikan setiap perbelanjaan menepati matlamat jangka panjang dan lestari.

“Saya tidak mahu berikan sebarang janji (beri duit raya kepada peneroka FELDA) kerana untuk dapatkan RM6.23 bilion pun perkara yang amat besar bagi kerajaan susulan kedudukan kewangan negara.

“Selain itu, kita enggan peruntukkan perbelanjaan yang tidak dapat beri manfaat kepada peneroka,” katanya kepada pemberita selepas Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Aidilfitri kepada 500 penerima daripada golongan miskin di Gombak Setia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham; Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI Selangor), Soffan Affendi Aminudin dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Datuk Juhari Ahmad.

Meyakini peserta tanah rancangan FELDA memahami kedudukan kewangan kerajaan, Mohamed Azmin berkata keutamaan ketika ini ialah bagi membela kebajikan dan nasib peneroka untuk jangka panjang.

“Menerusi pertemuan dengan peneroka di Jempol, sambutan sangat positif kerana yakin kerajaan komited untuk bantu mereka, khususnya dalam menyelesaikan isu pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *