‘Kalau orang masuk meminang, saya kahwin’ – Emma Maembong

‘Kalau orang masuk meminang, saya kahwin’ – Emma Maembong

KISAH percintaan aktres Emma Maembong sering kali menjadi tumpuan umum. Biarpun episod cintanya bersama pelakon Kamal Adli dilaporkan sudah putus di tengah jalan sekitar penghujung tahun lalu, namun umum masih mahu memburu kisah peribadinya.

Sungguhpun begitu, pelakon berusia 26 tahun itu memberitahu, sehingga saat ini dia masih lagi kekal berstatus solo. Baginya, dia selesa dengan kehidupannya kini yang tidak mempunyai sebarang komitmen dengan mana-mana hubungan percintaan.

“Saya solo. Tiada sesiapa pun (yang istimewa). Lagipun, saya dah tak ada fikir ke arah itu (bercinta pada masa ini). Kalian selalu bertanyakan hal peribadi kepada saya, tetapi sekarang saya tidak ada pun yang nak dikongsikan,” katanya.

Menurut Emma, biarpun tiada teman lelaki istimewa dalam hidupnya kini, dia tidak pernah meletakkan sebarang had untuk berkawan dengan sesiapa. Justeru, katanya, sehingga kini dia masih lagi berkawan baik dengan Kamal.

“Saya dengan Kamal memang masih berkawan. Kalau dia mengajak saya keluar, saya masih keluar walaupun tiada sebarang perhubungan istimewa. Tak pernah sesekali saya mahu menyekat sesiapa untuk berkawan. Saya masih berkawan dengan semua orang.

“Secara jujur, sesiapa nak berkenalan boleh sahaja. Cuma, dilemanya apabila rapat sedikit dikatakan bercinta. Ulang tahun kelahiran Kamal saya sambut, ulang tahun kelahiran kawan lain pun saya akan sambut. Sesiapa sahaja yang pernah menghargai ulang tahun kelahiran saya, sudah pasti saya akan lakukan perkara yang sama terhadap mereka. Jadi semua orang saya berkawan,” katanya.

Jelasnya lagi, buat masa ini, dia tidak mahu memikirkan soal jodoh. Baginya, ada perkara lebih penting yang perlu dicapainya dalam hidup selain kehidupan cinta.

“Saya sekarang ini menjalani kehidupan solo seperti biasa sahaja. Biarlah masa yang menentukan. Sampai masa, kalau ada orang masuk meminang, saya kahwinlah. Memang tidak ada letak sebarang harapan,” jelasnya yang turut pernah dikaitkan dengan pelakon Alvin Chong sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *