Kunci pintu tanah kubur untuk elak perpecahan

Tindakan waris Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengunci pintu pagar yang menempatkan kubur bekas menteri besar Kelantan itu bertujuan untuk menghalang perpecahan.

Kata Ahmad Dusuki Abd Rani, tindakan menghalang Tun Dr Mahathir Mohamad itu bukannya bermaksud melarang ziarah yang dirancang.

“Kita tak sebut halang, tapi nak sebut, ini merupakan satu jalan yang kita tak nak buka kepada ruang perpecahan,” katanya kepada media di luar Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu hari ini.

Terdahulu Dr Mahathir dijadual melakukan ziarah ke kubur Nik Abdul Aziz sebagai sebahagian daripada jadual lawatan beliau ke Kelantan hari ini.

Semalam Dr Mahathir melawat kubur bekas presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Semasa hayatnya Nik Abdul Aziz dan Fadzil sering berselisih pandangan dengan Dr Mahathir yang ketika itu menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun perseteruan itu terhad kepada pandangan politik.

Seorang daripada anak Nik Abdul Aziz dan Fadzil kini menjadi calon Pakatan Harapan untuk menghadapi BN – dan PAS – dalam PRU ke-14 dua hari lagi.

Sebelum Dr Mahathir tiba, seorang lagi anak Nik Abdul Aziz, Nik Adli, muncul dan mengunci pintu masuk ke kawasan perkuburan berkenaan.

Nik Adli berkata, dia mewakili pihak keluarga tidak mengizinkan ziarah tersebut.

“Kalau beliau (Dr Mahathir) nak datang, boleh datang selepas PRU,” katanya.

Sebuah lori kecil turut diletakkan di depan pintu pagar kawasan tanah perkuburan berkenaan.

Ekoran perkembangan itu Dr Mahathir menangguhkan lawatan berkenaan dan meneruskan program lain yang disusuk untuk beliau.

Untuk rekod Ahmad Dusuki dikatakan mempunyai pertalian kekeluargaan dengan Nik Abdul Aziz. Dia juga seorang daripada calon PAS yang diturunkan bertanding dalam PRU kali ini.

Namanya diletakkan untuk bertanding bagi kerusi dewan undangan negeri Kota Anggerik, Shah Alam.

Tidak dapat dipastikan bila Ahmad Dusuki yang juga anggota Jawatankuasa PAS Selangor itu tiba di Kota Bharu.

Kata Ahmad Dusuki langkah mengunci pintu tanah perkuburan berkenaan dibuat bagi menyelamatkan keluarga Nik Abdul Aziz daripada unsur-unsur yang merosakkan.

“Kami minta keluarga ini jangan dirosakkan dan jangan menjadi contoh tidak baik (kepada orang lain).

“Tuan Guru Nik Abdul Aziz dah letak asas dengan cukup baik membangunkan masyarakat dengan asas Islam, tiba-tiba datang unsur nak memecah-belahkan.

“Cukuplah dengan apa yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *