Malaysia bida tuan rumah Piala Dunia Mobile Legends

Malaysia bida tuan rumah Piala Dunia Mobile Legends

MALAYSIA tidak menolak kemungkinan membida untuk menganjurkan Piala Dunia Mobile Legends: Bang Bang, yang akan diadakan di sebuah negara di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, pembangun e-sukan mudah alih popular Mobile Legends – Moonton, belum mendedahkan tarikh sebenar kejohanan dunia itu, sama ada sebelum atau selepas temasya Sukan SEA di Filipina, hujung tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jika benar penganjuran Piala Dunia itu akan diadakan, pihaknya akan cuba sebaik mungkin untuk membawa kejohanan itu ke negara ini.

“Kalau boleh kami akan cuba sebaik mungkin, nanti saya akan semak dengan pasukan KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN), begitu juga persatuan e-sukan kerana mereka pun ada persatuan antarabangsa.

“Kalau boleh memang kita hendak bawa Piala Dunia itu ke Malaysia,” kata Syed Saddiq selepas merasmikan program Sukan Projek Perumahan Rakyat (PPR) peringkat negeri Selangor di PPR Lembah Subang Dua, Petaling Jaya hari ini.

Media tempatan sebelum ini melaporkan penganjur Piala Dunia itu masih belum memutuskan nama rasmi kejohanan berkenaan.

Kejohanan Piala Dunia itu akan membabitkan empat rantau besar iaitu Amerika Syarikat, Amerika Selatan, Eropah dan Asia Tenggara.

Mobile Legends merupakan satu permainan video mudah alih dalam talian multi-pemain yang dibangunkan dan diterbitkan oleh Moonton pada 2016.

Bagi setiap satu perlawanan, dua kumpulan akan bertarung untuk ‘memusnahkan’ pangkalan musuh mereka dan pada masa yang sama mereka juga perlu mempertahankan pangkalan sendiri melalui beberapa laluan yang disediakan.

Mobile Legends adalah satu daripada enam kategori e-Sukan yang akan dipertandingkan di Sukan SEA Filipina nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *