MB Terengganu angkat sumpah malam ini

MARANG – Menteri Besar Terengganu baharu dari Pas dijangka akan mengangkat sumpah di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu pada malam ini.

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Husain Awang berkata, istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan tersebut akan berlangsung dengan perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada pukul 9 malam ini.

“Seramai 10 barisan Exco (Ahli Majlis Mesyuarat) kerajaan negeri Terengganu juga akan mengangkat sumpah selepas istiadat terbabit.

“Pentadbiran baharu kerajaan negeri Terengganu yang kini diterajui Pas akan mula memasuki Wisma Darul Iman (pusat pentadbiran kerajaan negeri) pada Isnin ini,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Rusila di sini hari ini.

Begitupun, Husain enggan mendedahkan identiti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang akan dilantik sebagai Menteri Besar Pas yang baharu kerana masih belum mendapat perkenan Sultan Mizan setakat ini.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Wang dengan diiringi anaknya, Mohamad Khalil dan Husain difahamkan telah menghadap Sultan Mizan untuk mempersembahkan keputusan PRU-14 kepada baginda.

Pada PRU-14, Pas menguasai 22 kerusi DUN manakala Barisan Nasional pula 10 kerusi. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *