Pakatan Harapan kelam-kabut dan tergopoh-gapah – Zuhdi

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menyifatkan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya tidak bersedia membentuk kerajaan sejak menang PRU ke-14 pada 9 Mei lalu.

Pengarahnya Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, kerajaan baru itu juga dilihat “kelam-kabut” dan “tergopoh-gapah” dalam tindakannya – dalam soal menyiasat dakwaan kesalahan dan menghentikan projek kerajaan terdahulu.

“PH sebenarnya tidak menjangka mereka diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Malaysia dalam PRU ke-14 baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menyentuh soal pembentukan kabinet, Zuhdi berkata PH langsung tidak bersedia untuk segera membentuk kabinet selepas menang.

“Pembentukan kabinet jelas kelam-kabut, sehingga hari ini mereka masih belum menamakan dengan lengkap kementerian yang perlu ada.

“Lebih malang, seorang yang telah pun mengangkat sumpah menteri besar tiba-tiba dinamakan sebagai menteri di peringkat pusat,” katanya merujuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dinamakan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi selepas mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor.

Mahathir mengangkat sumpah pada 10 Mei. Beliau menamakan tiga menteri kanan pada 12 Mei dan sepuluh lagi menteri pada 18 Mei.

Pengerusi PH itu berkata kabinet akan mempunyai 25 hingga 30 menteri tetapi senarai penuh akan dibuat kemudian.

Tinggalkan mentaliti pembangkang

Dalam keadaan “kelam-kabut” itu, kata Zuhdi, kerajaan tergopoh-gapah mengambil tindakan yang disifatkannya sebagai populis dengan menyiasat pemimpin kerajaan terdahulu untuk meraih persepsi politik.

“Ini menyebabkan keyakinan umum terhadap profesionalisme jentera kerajaan boleh terhakis,” katanya lagi.

Beliau merujuk siasatan terhadap isu 1MDB dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang antara fokus utama kerajaan baru.

Selain itu, Zuhdi juga berkata kerajaan tergopoh-gapah mahu menghentikan projek pembangunan dahulu termasuk yang melibatkan pelaburan asing.

“Ini boleh menghilang keyakinan antarabangsa dan domestik terhadap hala tuju ekonomi Malaysia.”

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengutamakan pembentukan kabinet lengkap yang mantap dan diyakini dan meninggalkan gaya politik pembangkang sehingga mengesampingkan kepentingan negara.

“Keutamaan PH menyegerakan tindakan populis ini, di masa yang sama lambat membentuk kerajaan akan merugikan negara,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *