PAS beri petunjuk sedia bantu BN di Perak

IPOH – Pas memberi petunjuk awal sedia untuk bergabung dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan campuran di negeri Perak.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, parti itu hanya mahu menjayakan sebuah kerajaan gabungan dengan parti yang mahu melaksanakan Islam sebagai perjuangan yang tidak boleh dihalang.

Katanya, sebagai penentu kepada sebuah kerajaan gabungan di negeri ini, Pas pastinya mahu memilih parti yang boleh memberi kerjasama sepenuhnya dalam memperjuangan Islam demi kesejahteraan ummah.

“Pas pastinya tidak boleh bekerjasama dengan parti yang tidak boleh menerima Islam, malah pernah menentang perjuangan Islam termasuk usaha menjayakan RUU355 di negara ini.

“Kalau macam dahulu Pas pernah dihalang untuk bawak RUU355, malah usaha kita itu juga langsung tidak disokong oleh DAP,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pas Negeri Perak melibatkan 10 orang pemimpin utama.

Menurutnya, satu mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat akan diadakan esok bagi membincangkan situasi di Perak.

Katanya, mesyuarat itu akan menentukan penubuhan sebuah kerajaan gabungan setelah semua parti termasuk Pakatan Harapan dan BN tidak boleh membentuk kerajaan negeri menerusi majoriti mudah.

Sehubungan itu katanya, Pas negeri akan mendapatkan mandat daripada pihak pimpinan tinggi pusat dalam mesyuarat Pas pusat esok bagi membentuk sebuah kerajaan gabungan di Perak.

“Satu tahalulisasi perlu diadakan bagi menyelesaikan situasi yang berlaku di Perak bagi membentuk sebuah kerajaan gabungan.

“Kita pernah menjangkakan situasi seumpama ini akan berlaku dan Pas akan menjadi ‘king maker’, maka mana-mana parti yang boleh membantu memperjuangkan matlamat perjuangan Pas kita akan bersatu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *