Pengguna Grab dan e-hailing dijangka sukar mendapatkan perkhidmatan pertengahan Julai

Pengguna Grab dan e-hailing dijangka sukar mendapatkan perkhidmatan pertengahan Julai

Peraturan baharu yang memerlukan pemandu melalui syarat seperti kenderaan teksi namun terpaksa membayar kadar komisen yang berbeza menjadi antara faktor utama sebilangan besar pemandu terpaksa beralih bidang kerjaya.

Pemandu untuk perkhidmatan perkongsian kenderaan e-hailing seperti Grab kini perlu mematuhi beberapa peraturan baru yang ditetapkan oleh kerajaan untuk memastikan kesamarataan bagi pengendali khidmat ini seperti pengendali teksi biasa.

Melalui peraturan baru ini, pemandu kenderaan e-hailing perlu mendapatkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dengan kos RM115 setahun, dan pemeriksaan kenderaan tahunan perlu dilakukan oleh PUSPAKOM.

Pemandu khidmat e-hailing juga mesti melalui kursus enam jam yang berharga RM200 di Institusi memandu yang ditentukan untuk mendapat lesen PSV, dan mereka perlu melepasi pemeriksaan rekod jenayah serta kesihatan.

Servis e-hailing akan dikawal selia oleh kerajaan bermula 12 Julai melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial (Pindaan) 2017.

Pun begitu, kadar komisen yang diambil oleh pihak penyedia perkhidmatan e-hailing dikatakan masih berbeza dengan perkhidmatan teksi yang turut menggunakan aplikasi tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semasa mengumumkan peraturan baharu itu, turut memberitahu komisyen maksimum yang boleh disimpan oleh penyedia perkhidmatan e-hailing adalah 20%, dan untuk pemandu teksi yang menggunakan sistem ini, maksimum sebanyak 10%.

Biarpun peraturan terbaharu ini adalah usaha kerajaan dalam memastikan kesamarataan kepada pemandu teksi, namun kadar komisyen berbeza adalah disifatkan tidak adil dan menekan pemandu e-hailing.

Purata kadar pendapatan yang diperoleh pemandu e-hailing akan terus berada di paras yang sama walaupun setelah terpaksa melalui pelbagai proses peraturan baharu yang ditetapkan pihak kementerian pengangkutan.

Keadaan ini menjangkakan hampir 50% pemandu akan meninggalkan kerjaya pemanduan e-hailing seterusnya memberi impak dan kesan kepada pengguna serta orang awam apabila peraturan ini dikuatkuasakan sepenuhnya pada pertengahan Julai nanti.

Penyedia perkhidmatan dan pihak berwajib wajar mengkaji semula kadar pemotongan komisen yang dibenarkan agar ianya adil terhadap kesemua pemandu berdaftar yang menggunakan aplikasi e-hailing, baik kenderaan persendirian, mahupun teksi.

Langkah ini perlu diambil agar dapat membendung pemandu e-hailing daripada menggantung kerjaya mereka sekaligus mengakibatkan ketempangan dalam perkhidmatan pengangkutan moden yang kini menjadi pilihan orang ramai.

Sudah pastinya peraturan baharu yang akan melibatkan majoriti orang awam ini akan meninggalkan kesan dan menjadi penanda aras kepada pihak kerajaan dalam menangani isu minoriti pemandu teksi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *