Petisyen pilihan raya Tasek Gelugor dibatalkan

PULAU PINANG – Mahkamah khas Pilihan Raya hari ini membatalkan petisyen Parlimen Tasek Gelugor yang difailkan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya selepas kedua-dua pihak bersetuju petisyen itu dibatalkan untuk menjimatkan kos dan masa mahkamah.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu dalam kamar selepas peguam bagi pempetisyen dan responden bersetuju membatalkan petisyen tersebut.

Pembatalan itu menyaksikan Datuk Shabudin Yahaya kekal sebagai Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang mana beliau memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu setelah bertanding atas tiket Barisan Nasional.

Namun pada 14 Disember tahun lalu beliau mengumumkan keluar UMNO dan baru-baru ini telah memilih untuk menyertai Bersatu

Peguam yang mewakili Marzuki, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membatalkan petisyen itu selepas meneliti Borang 14.

“Petisyen itu dibatalkan dan responden, Shabudin Yahaya akan kekal sebagai Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang sekarang ini telah menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Keputusan ini dibuat selepas meneliti Borang 14 dan kedua-dua pihak memutuskan bahawa adalah lebih baik petisyen dibatalkan berdasarkan faktor teknikal,” katanya di sini hari ini.

Marzuki yang juga Setiausaha Agung Bersatu mengemukakan petisyen mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu selepas tewas tipis iaitu hanya dengan 81 undi kepada Shabudin yang ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *