PH dapat mandat bentuk kerajaan negeri Perak

Pakatan Harapan (PH) Perak mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas berjaya memperoleh majoriti mudah 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mandat itu diperoleh setelah dua pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) memilih untuk menyertai PH.

Perkara itu disahkan Pengerusi PH Perak Ahmad Faizal Azumu.

“Tuanku Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berpuas hati dengan jumlah majoriti mudah yang diperoleh,” katanya kepada pemberita selepas menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta hari ini.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan menang 29 daripada 59 kerusi DUN Perak.

Sebelum itu, Ahmad Faizal bersama 31 pemenang kerusi DUN termasuk dua daripada BN yang enggan didedahkan identiti mereka menghadap Sultan Nazrin Shah bagi membuktikan Pakatan Harapan mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Ahmad Faizal yang juga pengerusi PPBM negeri tidak menolak kemungkinan lebih ramai wakil BN akan menyertai Pakatan Harapan.

“Kita akan menubuhkan sebuah kerajaan yang mantap. Hentikan politik. Mulai sekarang kita tumpukan kepada pembangunan negeri dan perkhidmatan yang lebih sempurna,” katanya.

Ahmad Faizal bagaimanapun enggan mendedahkan tentang calon menteri besar Perak dan berkata senarai calon tersebut telah dibincangkan Majlis Presiden PH.

“Kita serahkan nama-nama calon menteri besar kepada tuanku,” katanya.

Pada PRU14 Rabu lepas, PH yang terdiri daripada PKR, DAP, bersatu dan PAN menguasai 29 daripada 59 kerusi DUN manakala BN menang 27 dan PAS tiga kerusi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *