PH laksana pendidikan percuma bila menang PRU-14

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) hanya akan melaksanakan pendidikan secara percuma sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan berjaya membentuk kerajaan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan Menteri Pendidikan yang mencabar Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan pendidikan percuma di Universiti Selangor hanya cuba mengelirukan rakyat.

“Menteri lebih suka berpolitik daripada membincangkan fakta. Jadi Menteri sepatutnya bercakap berlandaskan fakta, fokus untuk mempertingkatkan semula taraf pendidikan negara dan berhentilah main politik.

“Sekiranya Menteri ingin menyokong usaha PH memberi pendidikan percuma, cadangkan kepada rakan Menteri Kabinet lain untuk memperlihatkan semula pengagihan hasil di antara negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Ahad lepas, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sekiranya Kerajaan Negeri Selangor benar-benar serius melaksanakan pendidikan percuma, ia sepatutnya dilaksanakan terlebih dahulu di universiti seliaan mereka.

Beliau berkata kerajaan pimpinan Pakatan Harapan itu sepatutnya memberikan gambaran awal kepada rakyat bahawa usaha melaksanakan pendidikan percuma di negeri itu mampu dilakukan di UNISEL.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, pada masa ini, Kerajaan Negeri Selangor telahpun memperkenalkan struktur yuran UNISEL pada kadar berkemampuan berbanding universiti swasta lain.

“Di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), Kerajaan Negeri Selangor juga memberi sokongan pendidikan melalui Hadiah Institut Pengajian Tinggi, bantuan pinjaman pendidikan boleh ubah bebas faedah serta Brain Bank, iaitu program biasiswa khas peringkat PhD ke universiti terkemuka luar negara.

“UNISEL juga memperkenalkan program dermasiswa di peringkat asasi di mana pembelajaran asasi adalah percuma sekiranya pelajar menyambung peringkat sarjana muda di UNISEL,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *