Polis ada petunjuk baru keberadaan Jho Low – KPN

Polis ada petunjuk baru keberadaan Jho Low – KPN

Polis mempunyai petunjuk positif mengenai keberadaan ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau lebih dikenali sebaga Jho Low, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid berkata polis akan cuba membawa pulang ahli perniagaan kontroversi yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu ke Malaysia dalam masa terdekat kerana ‘mempunyai beberapa petunjuk baru’.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan petunjuk baharu yang dikumpul polis ketika ini berhubung ahli perniagaan tersebut.

“Saya serius ni (ada petunjuk baharu) tapi sabar. Mana dia nak menyorok… tak akan selamat. Kita akan bawa balik Jho Low tak lama lagi kerana semua orang tertunggu-tunggu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan singkat ke sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan hari ini.

Ditanya adakah Jho Low berada di China, beliau berkata:”Saya tak cakap.”

Katanya tindakan yang dilakukan Jho Low telah menyebabkan negara berhutang dengan kadar yang tinggi dan ahli perniagaan itu sepatutnya menerima balasan terhadap perbuatannya.

Beliau turut menyifatkan tindakan ahli perniagaan itu yang sering membuat kenyataan melalui peguamnya dari Macau dan Hong Kong sebagai pengecut.

“Rompakan yang dibuat Jho Low menyebabkan negara berhutang. Bila dia dibawa ke mahkamah Insya-Allah akan keluar segala penipuan yang dia telah lakukan,” katanya.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *