Prabakaran padam rekod Najib, wakil rakyat termuda dalam sejarah

CALON termuda yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) P Prabakaran berjaya memenangi kerusi Parlimen Batu.

Ia diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Anwar Md Zain di Dewan Sekolah Menengah Sentul Utama, kira-kira 10.30 malam ini.

Prabakaran yang berusia 22 tahun yang bertanding atas tiket Bebas itu turut berjaya memadamkan rekod 41 tahun Perdana Menteri Datuk Najib Razak yang sebelum ini menjadi wakil rakyat termuda selepas memenangi Parlimen Pekan pada 21 Februari 1979.

Najib ketika itu berusia 23 tahun.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di sebuah pusat pengajian swasta itu memenangi kawasan itu dengan majoriti 224,438, atau jumlah undi sebanyak 38,125.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional, Dr Dominic Lau Hoe Chai yang mendapat undi 13,687 , calon Pas, Azhar Yahya (10,610) dan calon Bebas, Datuk V M Panjamothy (383).

Kemenangan Prabakaran adalah dibantu oleh pengundi parti PKR yang sebelum ini mengisytiharkan bakal memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon muda itu selepas penyandang sebelum ini, Tian Chua dari PKR tidak dapat bertanding berikutan denda mahkamah bernilai RM2,000.

Dalam penjumlahan undi itu, SPR merekodkan sebanyak 498 undi ditolak.

SPR mendedahkan kertas undi keluar di parlimen itu adalah sebanyak 63,600, undi diterima; 62805 dan undi tidak dikembalikan sebanyak 297.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *