Ragut wanita tepi bangunan, polis Muar buru ‘Toncet’

Ragut wanita tepi bangunan, polis Muar buru ‘Toncet’

MUAR – Polis sedang mengesan Mohd. Fariezzuab Shah Che Ariff atau nama samarannya ‘Toncet’ iaitu suspek keempat yang dipercayai terlibat dalam kejadian ragut di lorong antara dua bangunan di sini yang tular pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, polis berjaya menahan dua suspek dalam dua serbuan berasingan di Cheras, Kuala Lumpur dua hari selepas kejadian itu diikuti seorang lagi suspek ditahan di Rawang, Selangor pada hari ini.

Katanya, susulan penahanan tersebut, polis merampas motosikal, pakaian dan topi keledar yang digunakan dalam kejadian ragut beg tangan seorang wanita hingga menyebabkannya jatuh dan terseret.

“Dalam kejadian itu, wanita berkenaan yang berjalan seorang diri didatangi oleh tiga buah motosikal yang bertindak meragut beg tangannya hingga menyebabkan wanita itu jatuh dan terseret di atas jalan tar.

“Kejadian itu disedari oleh orang awam dan kehadiran mereka menyebabkan suspek melarikan diri dengan tangan kosong. Kita sudah menahan tiga suspek berusia 22 hingga 24 tahun dan sedang memburu seorang lagi suspek bernama Toncet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaharudin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek keempat atau mengenai kes tersebut boleh menghubungi Inspektor, Azlan Ab. Rahman dengan menelefon 019-9474923 atau melaporkan ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

“Dengan tertangkapnya dan tumpas kumpulan ini, polis telah berjaya menyelesaikan tiga kejadian kes ragut yang berlaku di Muar pada 13 April dalam tempoj 72 jam,” katanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *