Rasmi: BN tumbang di Terengganu

PAS berjaya menguasai Dewan Undangan Negeri Terengganu selepas memenangi sekurang-kurangnya 21 kerusi malam ini.

Hal itu diumumkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut mempertahankan kerusi parlimen Marang.

Bagaimanapun semasa ditanya mengenai calon menteri besar negeri itu Abdul Hadi masih enggan memberi kepastian.

Sebaliknya dia agak berteka-teki sementara menunggu ruang menemui Sultan Terengganu.

“Itu (calon menteri besar) ada dalam hati saya,” katanya.

Kata Abdul Hadi PAS bersyukur dengan kemenangan yang dicapai pada kali ini.

Kemenangan itu mengulangi kejayaan pernah dicatat PAS pada 1999 sebelum parti itu ditukar oleh majoriti pengundi lima tahun kemudian.

Kata Abdul Hadi, tiada sebarang perarakan dianjurkan di Terengganu untuk meraikan kejayaan PAS itu.

Selain menawan 21 kerusi DUN Terengganu, PAS juga memenangi enam daripada lapan kerusi parlimen.

Secara keseluruhan DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi. Antara kerusi yang ditawan PAS ialah Manir, Paka, Sura, Teluk Pasu dan Wakaf Mempelam.

Selain Marang antara kerusi parlimen yang dimenangi PAS ialah Kuala Terengganu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *