‘Restu ibu lebih besar berbanding restu 10 juta rakyat Malaysia’ – Nik Abduh

KOTA BHARU – Nik Omar, anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilarang menjadi imam dan menyampaikan kuliah di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka selagi tidak mendapat restu dan keizinan bunya.

Adiknya yang juga Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh berkata, keputusan itu dibuat secara bersama selepas keluarga besar bekas Menteri Besar itu bermesyuarat beberapa hari sebelum Ramadan.

“Saya sahkan pengakuan kakanda saya, al-Fadhil Ustaz Nik Omar bahawa beliau disekat daripada menjadi imam solat lima waktu dan menjadi tenaga kuliah di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka.

Baca: Nik Omar dilarang jadi imam Masjid Tok Guru

“Ia adalah sekatan bersifat sementara, iaitu sehinggalah al-Fadhil Ustaz Nik Omar mendapat restu bondanya,” katanya menerusi status akaun Facebooknya yang dikemas kini sejak tengah malam tadi.

Mengulas lanjut, Nik Mohamad Abduh berkata, isu restu ibu sepatutnya bersifat dalaman namun Nik Omar sendiri mendedahkan perkara itu kepada media bahawa beliau tidak direstui untuk bertanding dalam pilihan raya umum.

Katanya, selang beberapa minggu kemudian, Nik Omar juga bertindak sebaliknya, yang membawa maksud nyata bahawa beliau melanggar restu bonda mereka iaitu Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak secara terbuka.

“Ia memberi kesan yang amat besar kepada seorang ibu yang terpaksa menanggung rasa malu yang teramat apabila bersua dengan masyarakat awam.

“Ia membawa kepada tindak balas keras daripada bonda yang tidak pernah kami lihat dalam hidup kami sebelum ini. Ia terus berpanjangan sehingga hari ini. Tidak perlu saya perincikan,” katanya.

Nik Omar

Menurutnya, sekatan tersebut bukan bermakna terputusnya hubungan silaturahim, malah keluarga mereka meneruskan tradisi biasa iaitu berkumpul setiap kali hujung mjnggu untuk makan malam bersama Tuan Sabariah.

“Kami adik beradik sentiasa mendoakan ‘al rusyd’ untuk beliau. Kami kenal beliau sebagaimana beliau kenal kami berbanding orang lain. Apatahlah bonda kami sendiri.

“Dalam sebuah masyarakat yang bebas, isu ini mungkin kecil. Tetapi dalam keluarga kami yang telah diasuh dengan didikan agama oleh datuk dan ayahanda kami, mentaati bonda adalah agama sepenuhnya.

“Restu seorang ibu adalah lebih besar daripada restu lima atau 10 juta rakyat Malaysia. Ibu takkan tewas di sisi Allah. Ibu adalah hujah Allah di muka bumi ke atas anak-anak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *