‘Saya nak tengok macam mana PH hapuskan GST’

Sentimen Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dimainkan Pakatan Harapan (PH) antara faktor kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14, kata anggota parlimen Larut dari BN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mahu melihat sejauh mana PH mampu menghapuskan GST.

Ini kerana, katanya sekiranya GST dihapuskan pengurangan harga petrol tidak dapat dilakukan.

“Ini semua tentang sentimen GST. Kita sebenarnya lebih bagus daripada mereka. Contohnya dari segi segala apa kita lakukan sebelum ini.

“Tapi mereka kata nak hapuskan GST. Saya nak tengok kerana kalau dia hapuskan GST mereka akan hilang pendapatan lebih kurang RM40 bilion. Daripada itu macam mana dia kata nak turunkan harga petrol,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas perjumpaan bersama Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak.

Najib mengadakan pertemuan bersama kira-kira 50 anggota parlimen BN yang memenangi PRU14 di Menara Dato Onn hari ini.

Selain itu, Hamzah berkata tindakan menghapuskan GST sukar untuk dilakukan tetapi mudah disebut oleh PH.

“Buat masa sekarang ini sahaja harga petrol yang sudah naik hampir RM0.30 sen (seliter) menelan (subsidi) sebulan hampir RM600 juta. Dengan (pemberian) BR1M lagi. Jadi tak tahulah, yang penting mereka lakukan yang terbaik dan bukan untuk sesiapa.

“Sukar lakukan tapi mudah untuk berkata-kata,” kata Hamzah.

Pada PRU14, BN hanya memenangi 79 buah kerusi parlimen berbanding 222 yang dipertanding.

Ini merupakan kali pertama BN kalah kepada parti pembangkang selepas 60 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *