‘Saya tak lari, cuma pergi Tabung Haji keluar duit’

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Jamal Yunos mendakwa beliau tidak melarikan diri dari hospital sebalik pergi ke pejabat Tabung Haji untuk mengeluarkan duit.

Menerusi satu rakaman audio, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu berkata, dia menyangka tempoh reman dan proses jaminan atas tuduhan yang dikenakan terhadapnya kelmarin sudah selesai.

“Kira-kira jam 3.15 petang, saya beredar dari hospital dan pergi ke Tabung Haji untuk mengeluarkan duit untuk digunakan bagi kos-kos seperti reman dan sebagainya.

“Saya terpaksa bergegas kerana mengejar masa, takut-takut waktu pejabat Tabung Haji tutup dan selepas berjaya mengeluarkan duit, saya mendapat panggilan mengatakan saya diburu polis.

“Tetapi ketika itu dalam keadaan saya kurang sihat, lebih baik saya berehat dahulu dan InsyaAllah saya akan tetap akan memberi kerjasama kepada pihak polis,” katanya menerusi rakaman tersebut.

Jamal dipercayai menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri ekoran pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, tahun lepas.

Kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang, Khamis lalu.

Jamal dituduh mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400 jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 8 Jun untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, peguam beliau, Datuk Mohd Imran Tamrin, dalam satu kenyataan hari ini berkata, Jamal sudah menghubunginya dan memaklumkan sedia memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk menyempurnakan proses berkenaan. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *