‘Tak pernah terlintas Umno Johor jadi pembangkang’

‘Tak pernah terlintas Umno Johor jadi pembangkang’

Mengimbas kembali keadaan sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Hasni Mohammad mendedahkan tiada tanda-tanda perubahan akan berlaku di negeri Umno sehinggalah pengundi keluar mengundi.

Hasni berkata Umno Johor menjangkakan hilang beberapa kerusi tetapi tidaklah sampai tumbang di pusat pentadbiran Kota Iskandar.

“Kami punya rekod baik mentadbir kerajaan negeri, jadi kami fikir kami boleh menang.

“Tak pernah terlintas di fikiran kami akan berakhir sebagai pembangkang,” katanya.

Hasni berkata semua anggota Umno mesti memikul tanggung jawab kekalahan BN ketika mengulas soalan jika bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak patut dipersalahkan kerana gabungan itu kalah kerajaan persekutuan dan tujuh negeri.

Hasni turut berkata beliau bersetuju Najib melepaskan jawatannya sebagai presiden dan pengerusi BN.

Hasni berkata Tun Abdullah Ahmad Badawi diminta mengosongkan jawatannya selepas kekalahan BN pada pilihan raya umum 2008.

“Malahan, ketika kita kehilangan majoriti (dua pertiga) kita (dalam parlimen), Pak Lah (Abdullah) diminta pergi, apatah lagi pula apabila kita kehilangan kawalan kerajaan persekutuan dan negeri.

“Tak perlu disebut, Najib memang perlu letak jawatan,” katanya.

Sebelum PRU14, Hasni berkata BN Johor telah memujuk kerajaan persekutuan untuk memasukkan lebih banyak insentif kepada kerajaan negeri dalam manifesto BN untuk meredakan ketidakpuasan penyokong tempatan.

Tiada isu peringkat negeri

“Kami menyatakan dengan jelas bahawa manifesto (BN) itu mesti memberi kami banyak bantuan kerana kami tahu cabaran kami adalah (isu-isu mengenai) kepimpinan persekutuan.

“Tidak ada isu di peringkat negeri,” katanya.

Hasni menegaskan bahawa manifesto BN berjanji untuk memperluaskan Lebuhraya Utara-Selatan (bahagian Yong Peng ke Johor Bahru), keretapi berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura dan Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura.

Walau bagaimanapun, beliau berkata janji-janji ini tidak dapat mengimbangi kegagalan bekas kerajaan BN dalam menangani skandal utama negara.

“Kami tidak dapat mempertahankan isu di peringkat persekutuan seperti 1MDB, Mara, Felda malah Tabung Haji. Ini semua isu peringkat persekutuan dan ia juga mempengaruhi pengundi di Johor.

“Bukanlah kerana orang menganggur selama bertahun-tahun atau mereka mengundi (Pakatan Harapan) agar tidak membayar PTPTN (pinjaman pendidikan tinggi) dan bukan kerana orang tidak mempunyai makanan untuk dimakan.

“Ini semua mengenai isu-isu yang tidak diuruskan dengan betul dan ini tidak serasi dengan (kehendak) pengundi,” katanya.

Pada pilihan raya umum 9 Mei, Hasni berjaya mempertahankan kerusi DUN Benut untuk kali ketiga, walaupun dengan majoriti yang lebih kecil.

Beliau menang dengan majoriti 4,447 berbanding calon PPBM Zulkifly Tasrep dan PAS Mohd Firdaus Jaafar.

Pada pilihan raya 2013, Hasni menang kerusi itu dengan majoriti 6,572 undi.

Daripada 56 kerusi DUN, BN hanya menang 19 berbanding 38 pada pilihan raya sebelumnya. Bagi kerusi Parlimen di Johor, gabungan itu memenangi lapan berbanding 21 sebelum ini.

2 thoughts on “‘Tak pernah terlintas Umno Johor jadi pembangkang’

  1. kita kalah bukan sbb kuatnya Pakatan Harapan tapi mualnya para ahli dan pengundi dgn perangai para pemimpin atasan yg tamak haloba dgn mengumpul kekayaan tanpa mempedulikan nasib bawahan apatah lagi golongan pertengahan dgn kezaliman cukai ,kenaikan harga barang serta tidak dihargai .

    1. Benar. Saya setuju dengan pendapat tuan. UMNO perlu kembali kepada asalnya iaitu mempertahankan agama, bangsa dan negara baru dapat memikat semula hati rakyat. Buka bertuankan wang ringgit semata-mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *