‘Tiada siapa dapat matikan roh dan perjuangan UMNO’ – Najib

PEKAN: Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, tiada sesiapa yang dapat mematikan roh dan perjuangan parti UMNO.

Malah, Najib yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau tetap berpegang teguh kepada pendirian berkenaan walaupun kuasa bukan lagi milik parti berkenaan.

“Walaupun ketika kita dalam tangisan, walaupun kita sedang memulakan zaman gerhana, walau tiada lagi kuasa di tangan tetapi tiada sesiapa dapat mematikan roh dan semangat perjuangan UMNO,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Amphitheater, Bangunan UMNO Pekan, Pahang.

Kehadiran anggota UMNO Pekan di dewan berkenaan katanya menandakan semangat UMNO masih kuat.

“Yang anehnya, waktu saya jadi perdana menteri, dewan ini tidak macam ini. Yang pelik dan aneh apabila saya tiada jawatan sebagai perdana menteri, dewan ini penuh sampai tak cukup kerusi.

“Ada yang berdiri, ada yang duduk bersimpuh. Saya kira ini adalah tanda semangat UMNO masih lagi kuat,” ujarnya.

Dalam pada itu, tegas bekas perdana menteri itu, kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu adalah disebabkan penyelewengan fakta dari parti lawan.

Jelasnya, beliau terkilan dengan perkara berkenaan kerana ia disifatkan tidak adil dalam proses demokrasi.

“Sebelum ini mereka (parti lawan) kata ‘perlu selamatkan Malaysia’, tetapi hari ini ekonomi Malaysia adalah baik dan kukuh dan boleh membawa negara maju ke hadapan.

“Inilah yang saya rasa terkilan sebenarnya bukan kekalahan itu. Namun kekalahan atas penyelewengan fakta yang sebenarnya,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *