Tiga ADUN BN Johor umum keluar parti sertai PPBM

Tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) di Johor mengumumkan akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) – parti komponen dalam Pakatan Harapan tidak lama lagi.

Ketiga-tiga mereka adalah Rosleli Jahari (Johor Lama), Alwiyah Talib (Endau) dan Rasman Ithnain (Sedili).

Tindakan itu turut disertai kira-kira 40 anggota Umno lain di kawasan tersebut.

Rasman dalam sidang media secara bersama berkata keputusan itu dibuat dengan kerelaan hari tanpa ada gesaan, paksaan mahupun ugutan daripada mana-mana pihak.

“Kami buat ini untuk tujuan, tidak lain tidak bukan iaitu demi untuk perpaduan orang Melayu dan rakyat.

“Kami selaku wakil rakyat kena mengikut rentak dan corak yang rakyat hendak dan ini salah satu daripada langkah yang terbaik demi perpaduan dan yang penting untuk rakyat,” katanya di Johor Bahru hari ini.

Rasman berkata walaupun sesetengah pihak mungkin mengganggap mereka mengkhianati pengundi, namun, pihaknya percaya pengundi di kawasan terlibat akan memahami tindakan diambil.

“Insya-Allah pengundi akan faham kerana pengundi menyokong kami kerana pengundi hendakkan perkhidmatan kami untuk kelangsungan kami menjalankan kerja.

Jika dalam waktu sekarang ini, macam (mana) kami hendak buat kerja? Apa yang saya boleh buat dengan rakyat? Hendak bantu rakyat macam mana?,” soalnya.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Setiausaha PPBM Johor Datuk Osman Sapian berkata pihaknya menerima baik hasrat ketiga-tiga ADUN berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya, PPBM akan membuat tapisan dahulu sebelum meluluskan penyertaan mereka.

“Hasrat murni, kita kena terima. Tentang tapisan, itu memanglah, bukan sahaja anggota datang daripada BN atau Umno atau yang bukan wakil rakyat.

“…kalau hendak masuk jadi anggota, kita akan tengok adakah beliau betul-betul hendak bersama dengan kita taat setia, kerana (kita) tidak mahu siapa-siapa yang dalam parti ini menganggap Pakatan Harapan sebagai parti seperti macam bila suka masuk, tidak suka keluar. Kita tak mahu,” katanya.

Pada PRU14 yang baru sahaja selesai, Rasman yang merupakan penyandang kerusi Sedili sejak 2008 telah menewaskan calon PKR Abdul Razak Isa.

Alwiyah dan Rosleli pula merupakan muka baharu yang ditampilkan BN di kawasan yang ditandingi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *