Unjuran KDNK Najib disyaki palsu – Tun M

PETALING JAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengkaji semula semua angka khususnya melibatkan kedudukan kewangan negara kerana kebanyakan unjuran yang dibuat dalam pentadbiran terdahulu disyaki palsu dan meragukan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau perlu sedikit masa untuk meneliti semua unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum mengumumkan angka baharu.

“Saya perlu masa sedikit untuk mengkaji semua perkara yang disampaikan kepada saya.

“Berkenaan dengan angka-angka kedudukan kewangan, saya sedar bahawa banyak daripada angka ini adalah palsu.

“Tapi kita kena tentukan setakat mana ianya tidak menepati kebenaran,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di bangunan Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Bank Dunia pada 12 April lalu menaikkan unjuran KDNK Malaysia bagi tahun ini kepada 5.4 peratus daripada 5.2 peratus disokong perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi.

Bank Dunia turut menjangkakan Malaysia berada pada landasan betul untk mencapai status negara berpendapatan tinggi antara tahun 2020 dan tahun 2024.

Sementara itu, Mahathir mengulangi komitmennya untuk mengekalkan pemberian inisiatif kerajaan terdahulu iaitu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat negara ini.

“BR1M kita sudah bersetuju, kita akan teruskan tapi kita akan kaji juga, kadang-kala ada orang yang tak sepatutnya terima BR1M tapi dapat.

“BR1M bukan cara untuk merasuah orang bagi menyokong kerajaan memerintah, ia patut merujuk kepada cara menangani masalah sosial,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *