Politik

Annuar pernah tegur Najib isu RM2.6 bilion

Calon timbalan presiden Umno Tan Sri Annuar Musa hari ini memberitahu beliau pernah memberi teguran kepada Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi bekas perdana menteri itu.

Menurut Annuar, beliau bersama beberapa anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno memberi teguran itu secara lisan malah turut menulis memorandum kepada bekas presiden Umno berkenaan.

“Banyak orang yang tak tahu saya menjadi jurucakap kepada satu kumpulan yang terdiri daripada anggota kabinet dan MT untuk berhadapan dengan Najib bagi menuntut jawapan isu RM2.6 bilion.

“Saya juga orang yang pergi ke pejabat Najib membawa memorandum yang bertulis daripada kawan-kawan MT memberi teguran bahawa Umno boleh kalah pada pilihan raya umum ke-14 kalau perkara tertentu tidak diuruskan dengan baik oleh kerajaan.

“Memorandum tiga muka surat. Teguran memang hebat cuma kita kalau nak menegur dalam jemaah kita, kena ada etika, dengan cara berhikmah,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian yang disiarkan secara langsung di Facebook akhbar harian berkenaan.

Sehubungan itu, anggota parlimen Ketereh itu turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa tidak pernah memberi teguran kepada Najib.

“Sangat-sangat salah (dakwaan itu). Secara dalaman kami berbincang dengan hebat, teguran itu juga hebat dan beberapa MT melontarkan suara cukup keras. Proses itu ada dan berlaku,” kata Annuar lagi.

Bagaimanapun, Annuar tidak menyebut bila teguran itu dibuat dan tarikh penyerahan memorandum berkenaan.

Leave a Reply