Politik

PAS ketandusan pemimpin berwawasan – Mahfuz

ALOR SETAR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan pemimpin PAS berfikiran pasif hanya mahu mengambil kesempatan terhadap politik negara tanpa berusaha membantu menyelesaikan masalah negara.

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang tidak kisah PAS tidak menang di pusat dalam PRU14 lalu kerana negara terlalu banyak berhutang.

Menurutnya, kenyataan pemimpin parti itu menunjukkan bertapa lemahnya jiwa dan kerdilnya semangat PAS dalam menghadapi kemelut politik negara.

“Saya amat hairan dengan kenyataan seorang Naib Presiden dari parti Islam yang paling lama di negara, merasakan lebih baik Pakatan Harapan (PH) memerintah sekarang selama lima tahun untuk menyelesaikan hutang sebelum Pas mengambil alih kerajaan pusat dalam PRU akan datang.

“Tidakkah ini mencerminkan pemimpin PAS berfikiran pasif dan hanya mahu mengambil kesempatan terhadap politik negara daripada pihak lain tanpa berusaha membantu menyelesaikan masalah negara yang kronik dan rumit sekarang,” katanya, dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mahfuz berkata dalam maksud lain, PAS sebenarnya tidak tahu bagaimana menyelesai masalah negara dan tidak mahu menjadi sebahagian dari rakyat yang berusaha membangunkan negara tercinta hasil dari kerosakan oleh tangan-tangan pemimpin negara sebelum ini.

“Dalam keadaan rakyat banyak memberi input dan nasihat yang baik kepada kerajaan pasca PRU ke 14, PAS pula mengambil sikap berlepas diri dan beretorik politik.

“Jika itulah kenyataan dan mentaliti pemimpin PAS, maka tidak hairan parti ini tidak mampu melangkah jauh walaupun sudah berusia lebih daripada 60 tahun. PAS ketandusan pemimpin negarawan yang berjiwa besar dan memandang ke hadapan,”katanya.

Menurutnya, pemimpin PAS itu seharusnya memberi cadangan kepada kerajaan PH bagaimana mengembalikan negara di landasan sebenar, memulihkan ekonomi negara, membayar hutang-hutang negara, menghapuskan rasuah dan korupsi serta membebaskan semua agensi kerajaan yang ditekan selama ini.

“Tetapi, sikap pemimpin PAS yang masih berdelusi ini amat memalukan rakyat. Jika beliau ( Mohamad Amar) masih merasakan PAS akan mendapat sokongan terbanyak, dan akan memenangi Putrajaya lima tahun lagi dengan sokongan rakyat, silakan beliau terus bermimpi di siang hari.

“Kepada rakyat, ayuh kita bekerja bersama bagi membina semula negara, tinggalkan mereka yang hanya mahu bersenang lenang dan hanya tahu mengambil kesempatan atas usaha kita bersama selama ini.

“Nanti kita akan kenal siapa yang benar ikhlas bekerja untuk negara, dan siapa pula yang hanya mahu mengejar jawatan dan kedudukan untuk kepentingan diri,”katanya.

Leave a Reply