Politik

Segelintir pegawai kerajaan masih setia dengan Najib

PETALING JAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata masih terdapat segelintir pegawai kerajaan yang masih setia dengan kerajaan lama dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Dr Mahathir, ada pegawai kerajaan yang cuba mengelak daripada melakukan keputusan kerajaan hari ini kerana masih terpengaruh dengan kerajaan lama.

Beliau berkata atas sebab-sebab tertentu kerajaan di bawah pentadbiran beliau tidak boleh mencapai 100 peratus daripada apa yang dijanjikan.

“Dalam jentera pentadbiran hari ini ada orang yang ‘liat’ taknak terima pelantikan kerajaan baru.

“Mereka masih terpengaruh dengan kerajaan lama, liat bantu kita licinkan pentadbiran,” kata Pengerusi Pakatan Harapan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Jelas Dr Mahathir terdapat kes di mana lantikan-lantikan pegawai di kementerian tidak mendapat pengesahan daripada pihak berkaitan malah terdapat pegawai lantikan beliau tidak dibayar gaji sehingga empat bulan.

“Walaupun saya sudah luluskan pelantikan, tapi mereka masih belum mendapat gaji kononnya ada tidak kena dengan pelantikan.

“Bila Kabinet putuskan untuk ambil tindakan, barulah gaji dibayar,” katanya.

Dr Mahathir sebelum itu ditanya adakah beliau berpuas hati dengan pencapaian kerajaan di bawah pentadbirannya.

“Saya tak pernah berpuas hati. Kalau boleh, apa yang saya hendak (sesuatu yang telah diarahkan), telah dibuat kelmarin, bukan hari ini.

Kerosakan jauh lebih buruk. Ramai elak jalankan keputusan-keputusan kerajaan..jadi untuk melicinkan pentadbiran kita perlu ubah jawatan atau gugurkan segelintir pegawai kerajaan,”katanya.

Leave a Reply