Politik

SPRM belum terima aduan pembantu Tun M terima RM10 juta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa seorang pembantu Tun Dr Mahathir Mohamad menerima RM10 juta daripada bekas perdana menteri itu sebelum pilihan raya umum ke-13.

Memetik sumber, The Star Online melaporkan tiada undang-undang pada masa ini yang menghalang seseorang daripada menerima dana atau sumbangan politik.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini kelmarin, Najib mendakwa salah seorang “orang Mahathir” mengambil RM10 juta wang tunai daripadanya untuk kempen PRU13.

Najib berkata demikian ketika diminta menjelaskan penemuan RM116 juta wang tunai semasa serbuan polis di beberapa kediaman yang dikaitkan dengan beliau dan keluarganya.

Najib juga mendakwa kebanyakan barangan berharga yang dirampas seperti beg tangan, jam tangan dan barangan kemas adalah “hadiah” daripada rakan-rakan dan para pembesar asing, termasuk jam tangan Rolex yang bernilai RM3.5 juta

Najib berkata walaupun tidak diketahui umum, sumbangan dan wang tunai untuk digunakan semasa kempen pilihan raya adalah amalan biasa.

Pada PRU ke-13, Dr Mahathir belum keluar Umno dan anaknya Datuk Seri Mukriz bertanding di kerusi DUN Ayer Hitam di Kedah.

Mukhriz kemudian memenangi kerusi itu dan seterusnya menjadi menteri besar Kedah.

Bagaimanapun semalam, Mahathir mencabar Najib mengemukakan bukti berbubung dakwaan pembantunya menerima wang tersebut.

Leave a Reply