Politik

‘Sudah nampak bunga-bunga pemerintahan ala Umno-BN di Kelantan’ – Mahfuz

Pekeliling larangan memasuki istana yang dikeluarkan oleh kerajaan Kelantan terhadap dua pemimpin parti Amanah Negara (Amanah) sejak Isnin disifatkan mempunyai persamaan dengan gaya pemerintahan ala Umno-Barisan Nasional (BN).

Dua pemimpin Amanah tersebut ialah Naib Presiden Amanah, Husam Musa dan Pengerusi Amanah Negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Naib presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan Kelantan dinasihatkan agar tidak mengulangi kesilapan pentadbiran Umno-BN di bawah pimpinan bekas perdana menteri.

“Sudah nampak bunga-bunga pemerintahan ala Umno-BN di kerajaan Kelantan.

“Nik Omar Nik Abdul Aziz telah dihalang daripada menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid di kampungnya sendiri oleh pemimpin PAS walaupun berlindung atas nama masalah dalaman keluarga.

“Kini Husam Musa dan Wan Abdul Rahim pula menjadi mangsa,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Tambah Mahfuz, tiada gunanya politik dendam dan kebencian disemai lagi selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) walaupun mereka berlainan parti politik dan pandangan.

Menurut beliau, sikap tidak mahu mendengar pandangan dan mengambil tindakan keras terhadap musuh politik termasuk melakukan sekatan dan halangan daripada bersuara adalah sinonim dengan gaya pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tindakan menghalang mereka seperti kerajaan Kelantan memulakan permusuhan dengan kerajaan pusat dan menolak sistem demokrasi.

“Sebagai rakyat yang sayangkan negerinya, mereka (Husam dan Wan Abdul Rahim) bertindak sebagai penyemak dan pengimbang (check and balance) dengan kritikan agar kerajaan negeri berjalan di atas landasannya,” ujar Mahfuz.

Selain tidak dibenarkan memasuki enam istana di negeri itu, Husam dan Wan Abdul Rahim turut dilarang daripada memasuki jabatan kerajaan negeri.

Sebelum ini media melaporkan, setiausaha negeri Datuk Nazran Muhamad berkata, pekeliling itu diedarkan kepada lebih 2,000 kakitangan kerajaan negeri pada Isnin.

Leave a Reply