Politik

Tolak RUU Antiberita Tidak Benar bukti senator BN junjung dasar kleptokrat

Penolakan Rang Undang-Undang Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 oleh Dewan Negara pada 12 September baru-baru ini membuktikan bahawa Senator-Senator Barisan Nasional (BN) masih menjunjung dasar pentadbiran kleptokrat BN yang gagal menegakkan hak dan kebebasan berekspresi sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Faiz Fadzil ketika ditemui semasa program sumbangan bubur Asyura bagi Dun Permatang Pasir hari ini.

Katanya lagi, meskipun rakyat telah menolak BN pada 9 Mei yang lalu, namun 28 senator BN gagal memahami aspirasi majoriti rakyat yang menolak penguatkuasaan undang-undang drakonian seperti Akta Anti Berita Tidak Benar.

“Walaupun Dewan Negara bebas membuat keputusan sama ada menyokong atau menolak RUU ini, mereka perlu memahami bahawa pemansuhan undang-undang ini adalah kehendak rakyat dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Sebelum ini kita sering mengecam sikap Dewan Negara yang dianggap sebagai ‘rubber stamp’ kerajaan BN, namun begitu dalam konteks ini mereka tidak seharusnya mengekalkan sikap tersebut.

“Sebagai penggubal undang-undang sewajarnya mereka tidak menyokong apa jua undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan,” jelasnya yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN).

Malah kata Faiz lagi, sikap mempertahankan Keluhuran Perlembagaan harus bertitik tolak daripada Ahli Parlimen supaya Malaysia Baharu yang sedang dibina dapat melestarikan ideologi ini.

Justeru itu ujarnya, tidak harus ada mana-mana pihak menjalin hubungan dengan Umno dan BN kerana terlalu ketara pimpinan mereka konsisten mempertahankan dasar yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan kebebasan sejagat.

“Memberi peluang kepada Umno dan BN untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan semula, akan membawa negara ini lebih terkebelakang.

“Malaysia harus terus bergerak maju ke hadapan serta cuba mencapai kemajuan dan kemakmuran yang lebih baik.

“Ia mampu untuk direalisasikan dibawah kepimpinan Pakatan Harapan, sekalipun tanpa kewujudan Umno dan BN sebagai pemerintah, ” tambahnya lagi.

Leave a Reply