Politik

Umno mesti berani muhasabah diri – Shahrizat

SHAH ALAM – Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil percaya kekalahan parti tersebut dan juga BN bukan disebabkan isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semata-mata.

Sebaliknya, kekalahan teruk dalam PRU14 itu disebabkan ramuan pelbagai faktor, yang menyenaraikan sebab tersebut.

Memetik laporan The Malaysian Insight, beliau berkata, kemungkinan mereka mahu Umno dan BN bertukar wajah.

“Isu GST, 1MDB, isu mereka mahu perubahan dalam Umno, mahu cara baru, dan tidak mahu ada warlord (pembesar tempatan), mereka mahu (Umno) lebih inklusif.

“Parti ini perlu bangkit melakukan perubahan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Umno terutamanya anak muda,” katanya.

Shahrizat berkata, kegagalan memberi nafas baru pada parti terbesar Melayu itu akan menyebabkan masa depan Umno parah.

“Kita pun kurang pembabitan dalam media sosial. Kita punya hubungan dengan rakyat mungkin kurang. Cara kita berjuang, cara melaksana polisi dan perundangan. Mereka mahu budaya dalam Umno ditukar.

“Saya percaya ini masanya Umno betul-betul mesti berani muhasabah diri. Kalau kita tak berubah saya khuatir akan parah selama-lamanya nanti,” katanya.

Selain itu, Shahrizat juga yakin pemilihan parti pada 30 Jun ini akan memberi nafas baru kepada parti.

“Saya yakin jikalau kita kembali kepada asas perjuangan yang suci tetapi kita mesti membuat perubahan.

“Cara berjuang itu kita mesti tukar,” katanya yang tidak akan mempertahankan jawatannya untuk memberi ruang bagi usaha peremajaan Umno.

Leave a Reply